Wednesday, July 15, 2009

Nikah mutaah haram (petikan dr utusan online 15/07/09)

KUALA LUMPUR 14 Julai - Nikah mutaah adalah haram di sisi Islam dan juga undang- undang di negara ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan.

Beliau berkata, penjelasan mengenai pernikahan itu sering dilakukan oleh Jakim kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

''Penerangan itu dibuat melalui ceramah dan juga siaran radio. Namun, sehingga kini belum ada aduan mengenai pernikahan tersebut di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia semalam mengenai perangkap cinta lelaki Arab yang bijak memikat wanita tempatan tetapi selalunya ditinggalkan apabila mereka pulang ke negara masing- masing.

Selain itu, kehadiran lelaki Arab dalam hidup wanita tempatan menyebabkan ramai antara mereka berkahwin secara mutaah.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, Islam mengharamkan nikah mutaah kerana bertentangan dengan matlamat dan objektif perkahwinan.

Katanya, hikmah perkahwinan adalah untuk suami, isteri serta keluarga sehingga akhir hayat dengan suasana yang harmoni bukannya dalam tempoh tertentu.

Jelasnya, Nabi bersabda yang bermaksud:

''Berkahwin dan bernikah oleh kamu akan perempuan dan jangan kamu menceraikannya kerana sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak mahu dan tidak gemar lelaki (suami) dan perempuan (isteri) yang hanya berkahwin semata-mata kerana ingin melepaskan hawa nafsu dan kerana semata-mata bersedap-sedapan sahaja.''

Katanya, larangan terhadap nikah mutaah juga disebut dengan jelas dalam sabda Nabi yang bermaksud:

Dan bahawa sesungguhnya Allah SWT mengharamkannya yakni nikah mutaah hingga hari kiamat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam di negara ini supaya bernikah mengikut hukum Islam dan undang-undang yang telah ditetapkan.

''Jangan mengikut budaya yang tidak sihat dan bertentangan dengan hukum Islam,'' katanya.

No comments:

Post a Comment